Saya mahu novel ERTI CINTA - Camelia
Desiran angin halus cukup membuatkan Ellyza mengigil. Kedua-dua tangan disilangkan ke dada. Memeluk tubuhnya sendiri. Sesekali, angin menghembus kasar. Menerbangkan sang langsir di jendela. Bunyi engsel dan pintu kayu bergesel menyeramkan suasana. Ditambah pula dengan siulan manja burung-burung hantu. Berselang-seli dengan cengkerik yang galak keriangan. Cepat-cepat, tingkap berpintu itu diselak. Dikunci rapat.
Ellyza menghempaskan badannya ke atas tilam. Hatinya kurang senang. Perasaannya semacam. Bagaikan ada sesuatu berada di bawah katilnya. Takut-takut, selimut tebal ditarik menutupi mukanya. Dipejam matanya rapat. Doa tidur dibaca sebelum ditutupi dengan ucapan khalimah syahadah. Hatinya berbisik, menggesa semoga tirai subuh berlabuh pantas.
“Ellyza, bangun nak ! Bilal sudah laungkan azan. Bangun cepat. Nanti, lewat pula kamu ke sekolah,”
“Elly mengantuk lagi ni mak. Lagi lima minit, Elly bangun, ya ?”
“Hish, budak ni ! Dah pukul berapa sekarang ni ? Kamu tu kalau bersiap selagi jarum jam tu tak habis ronda satu pusingan tak adanya kamu siap. Bangun sekarang,”
“Yelah ! Elly bangun sekarang,” ujarnya seraya menggeliat malas.
Usai membersihkan diri, terus kakinya menapak ke kawasan sekolah. Udara dingin dan sejuk begitu mendamaikan. Baru selangkah dua dia berjalan, dirinya disapa pengawal keselamatan. Ucapan selamat pagi sebagai tanda perkenalan. Maklumlah, dia orang baru. Masih belum ramah dengan warga sekolah. Tak lama kemudian, dia meminta diri. Mahu memulakan tugasnya sebagai seorang guru.
“Berani sungguh cikgu baru tu masuk dalam bangunan tu awal-awal pagi macam ni ? Kita nak masuk ronda-rondapun berteman,” persoal Pak Latif seraya meletakkan motosikalnya disebelah pondok pengawal.
“Dia tu cikgu baru. Budak baru. Tak tahu cerita, Latif,”
“Kau perasan sesuatu tak ?”
“Perasan apa pulak ?”
“Hmm ... Kau dah lupa kes pelajar mati 10 tahun lepas ? Muka dia betul-betul macam Cikgu Ellyza,”
“Hish ! Kau ni ! Ke situ pulak ?”
“Yelah, sejak dua minggu lepas lagi aku perasan ! Muka dia seiras dengan macam arwah Nellisa. Aku ingat lagi budak tu. Hari-hari datang melepak dekat sini. Takkan kau dah lupa, kut ?”
“Pagi-pagi macam ni, kau tak payah nak mengarut, Latif ! Bulu roma aku dah meremang dah ni. Aku pernah nampak Cikgu Ellyza tu sembahyang dekat surau sana tu, hah ! Kau nak cakap yang Cikgu Ellyza tu hantu ke apa ?”
“Eh, ... aku lapar. Lupa nak makan ! Aku keluar kejap,”
Semakin menghampiri bangunan usang itu, derap langkah itu kian mendekat. Ellyza gugup. Langkahnya sengaja dipanjangkan. Sesekali, kepalanya ditoleh ke belakang. Kosong. Tiada sesiapa di belakang malah, di sekelilingnya hanya dia berseorangan. Sepantas mungkin dia berlari ke arah tangga. Dengan kaki kanan mendahului anak-anak tangga, kaki kiri mengejar pantas, gerakannya seakan terbang.
Badannya seakan membeku pabila bahunya terasa ditepuk seseorang. Wajahnya berubah pucat. Dia beranikan diri memusingkan badannya ke belakang. Sama seperti tadi. Kosong ! Ellyza bermonolog sendiri. Gugup yang bermukim menyeru dirinya beristighfar panjang. Dengan perasaan takut menyelubungi diri, kakinya melangkah laju ke bilik guru. Ellyza terkaku. Terbuntang matanya pabila melihat sebelah kaki berjuntai dengan tangan berayun muncul tiba-tiba di tempat duduknya. Jantung berdegup kencang seakan mahu tercabut dari tangkainya. Kepalanya pantas menoleh ke belakang. Mencari kelibat manusia yang lain. Masih jua tiada sesiapa yang kelihatan. Dipusingkan kepalanya ke tempat duduknya semula. Kembali sediakala. Tiada lagi ‘kelibat’ tadi. Dadanya digosok perlahan-lahan. Tanda lega bertandang.
Ellyza ukir senyuman di bibir. Matanya seakan turut mengulam senyuman kepada sorotan mata anak-anak muridnya. Ringan sahaja mulutnya beramah-mesra dengan mereka. Bagaikan berbicara dengan adik-adik saja lagaknya.
“Untuk kelas kita hari ni, kita akan masuk bab coordination and response. Sebelum saya ajar kamu, saya nak semua baca dan faham serba sedikit tentang apa yang dimaksudkan dengan coordination dan apa itu response,”
Kelas menyepi. Masing-masing tekun membaca. Ellyza melabuhkan punggung ke kerusinya. Matanya menjamah seisi kelas. Terpaku pandangannya pada seorang pelajar, Adnin. Leka benar remaja itu memandang keluar dengan dahi berkerut-kerut. Bibirnya lantas menyoal perilaku pelajarnya itu. Kusyuk benar memandang. Dipanggil berkali-kali, tiada Adnin menyahut. Mahu tak mahu, dia sendiri memusingkan kepalanya. Memandang ke arah yang sama. Riaknya turut berubah. Cepat-cepat, reaksinya dikawal lalu memandang ke arah pelajarnya tadi.
“Awak pandang apa tu, Adnin ?”
“Tak ada apa-apa, cikgu,”. Nyata nadanya berbaur terkejut. Mata Adnin seolah-olah terus mahu memaku pandang ke arah tadi. Seakan konsep tarikan besi ke arah magnet.
Ellyza hela nafas perlahan. Adnin ditatapnya dalam. Kasihan Adnin. Masih lagi mentah mengenal dunia sudah nampak yang bukan-bukan. Sebagai guru yang bertanggungjawab, pelajarnya itu diberikan nasihat. Katanya, disebabkan tekanan terlalu asyik bertemankan buku sepanjang masa, otak jadi tidak stabil. Mudah sahaja berfikiran negatif. Adnin cuba membuka hikayat lama. Kononnya, tragedi hitam pernah terlakar di sekolah itu kira-kira sepuluh tahun yang lalu. Betul-betul di belakang bilik guru. Bersungguh-sungguh Adnin bercerita. Menyakinkan Ellyza bahawa kata-katanya tiada bohong. Ellyza pamer riak tidak percaya. Baginya, hantu tidak pernah wujud di alam semesta. Yang ada hanyalah syaitan yang merupa-rupa.
Helaian demi helaian buku latihan anak-anak muridnya diselak. Fikirannya bercelaru. Kusut apabila memikirkan kejadian tadi. Di kantin tadipun, beberapa orang guru berbisik-bisik sesama sendiri. Mengatakan hantu tadi sudah lama tidak mengganggu penghuni sekolah. Semua ini berlaku gara-gara kedatangannya yang dikatakan seiras dengan mangsa yang terbunuh. Ada yang menokok tambah. Kata mereka, hantu itu mencari dirinya. Mengeluh Ellyza buat kesekian kalinya.
Ellyza kerling keluar tingkap. Tangannya menongkat dagu. Pelik benar dengan para guru disekolah itu. Tak ramai yang berani masuk ke bilik guru di waktu rehat seperti itu. Kalau ada yang masuk sekalipun, macam tergesa-gesa mahu keluar. Lain pula dengan Puan Suhana, guru matematik. Selamba sahaja menuju ke arah meja. Semanis mungkin, senyuman dihadiahkan buat wanita itu. Usahkan balas bertegur sapa, senyumpun tiada mahu wanita itu membalas. Bahkan dibalas dengan jelingan kasar. Terasa angin dingin bertiup tiba-tiba. Sejuk bagaikan ais. Keningnya dijungkit. Reaksi spontan pabila pelik. Dia alih pandangan ke arah tingkap yang tertutup. Makin pelik bersarang dibenak.
“Nelly !”. Bisikan halus di telinga begitu perlahan kedengaran berserta tiupan angin dipipinya.
Hmm ? Nelly, sapa tu ? Ah ! Biarkan je la ! Aku banyak sangat berfikir. Tu yang dengar yang bukan-bukan.
“Nellyza,”
Ke kiri ke kanan kepalanya di toleh.
“Nelly !”
Bahunya dicuit. Sekejap sebelah kiri. Sekejap sebelah kanan. Menjerit Ellyza didalam hati. Boleh gila kalau begini. Tudung di kepala digaru-garu kehairanan. Marker merah di atas meja bergerak-gerak sendiri. Terangkat sedikit demi sedikit. Bergerak ke arah whiteboard.
N.E.L.L.Y !! P.A.N.D.A.N.G S.I.N.I
Terperanjat Ellyza. Tangannya sejuk. Kakinya mengeletar. Mulutnya terkumat-kamit membaca sesuatu. Suara itu memanggil lagi namanya. Kali ini, semakin kuat. Ellyza beranikan diri. Menyoal gerangan si empunya suara dengan nada berbisik. Bimbang juga didengari orang lain. Walhal, Puan Suhana berada jauh dipenjuru bilik.
“Kau tahu siapa aku. Sampai hati kau lupakan aku ...,” gemersik suara itu mendatar sebelum tangisan dihambur keluar.
“Merepek ! Aku tak kenal kau ! Nelly, Nelly ! Siapa Nelly tu ?”
“Kau, Nelly !” balas suara itu sambil memandang tajam ke arah Ellyza.
“Kau ... Kau ni Nellisa ?”. Ellyza lontar ketawa plastik.
“Yup ! Kau Nellyza,”
“Aku Ellyza, okey ! Bukannya Nellyza!” balas Ellyza pantas. Cuba memberanikan diri. Padahal, jemarinya sudah beku mengalahkan ais.
“Kau hilang ingatan ! Sebab tu kau lupa siapa aku. Lupa siapa diri kau. Lupa janji kau,”
“Janji ? Janji apa ? Aku tak pernah berjanji apa-apa ? Kau nak apa dari aku ni ? Kau dah mati. Pergi kembali ke tempat kau. Aku tak nak ada yang kata aku ni gila sebab bercakap sorang-sorang,”
“Nelly, kau harus tunaikan janji kau ! Kau kena tunaikan,”. Terus bayangan itu hilang.
T.U.N.A.I.K.A.N !!!
Kali ni bukan dengan marker merah tapi merah darah. Terus pengsan Ellyza.
Suara gemersik itu asyik tergiang-giang di telinga. Resah Ellyza jadinya. Begini tak kena, begitu tak kena. Entah janji apa yang dituntut, dia tidak tahu. Badannya bersandar di pondok pengawal. Pening pula apabila memikir Nellisa. Persoalan sarat memenuhi kotak akalnya. Pak Dollah menghampiri guru muda yang kelihatan asyik termenung itu. Kadang-kadang, tumpah rasa belas kepadanya. Yalah, orang baru tapi bagai tersisih. Dipulaukan oleh yang lain. Bagai terdengar suara seseorang mendesak, akhirnya bibir yang selama ini terkunci terbuka jua. Segala persoalan yang bermain dibenak Ellyza dirungkai satu demi satu. Melainkan, siapa sebenarnya Nellisa ? Pak Dollah seakan mahu menyembunyikan sesuatu.
Kakinya diatur malas ke arah beranda. Bosan menjengah. Kadang-kadang, curiga juga dengan wanita yang dipanggil mak. Awal-awal pagi sahaja lekat dirumah. Waktu lain memang mustahil amat untuk berjumpa. Hendak dikatakan sibuk dengan kerja ? Mustahil. Memori dua minggunya masih kuat. Ini kampung bukannya bandar. Manusia berlumba-lumba mengejar kekayaan. Takkan malam-malampun tak ada. Dengan ingatan sebelum ini bagaikan sifar, hanya sepatah nama, Ellyza saja yang melekat difikirannya. Yang lain ? Dia sendiri masih bingung. Mak ? Dia sendiri tak pasti siapa perempuan tu tetapi apabila ditanya dimana rumahnya, semua orang akan diam dan terus membisu. Itu belum dikira pabila nama wanita dipanggil mak disebut, semua lari lintang-pukang ! Pelik ! Siapa sebenarnya dirinya ? Siapa Nellyza ? Siapa mak ?
Angin bertiup kencang tiba-tiba. Berterbangan dedaun di tanah. Ellyza kecilkan matanya supaya tidak dimasuki habuk. Suara gemersik itu menyapa halus di telingannya. Kali ini, getar dihati diusir pergi. Yang memperkenalkan diri sebagai Nellisa dipaksa tunjukkan diri. Katanya berani, takkan dia dengari percakapan perempuan itu seandainya hanya suara yang bergemersik. Serentak itu, tiupan angin menjadi semakin kencang. Terbang ke atas dan ke bawah atap-atap zink. Ellyza berdehem. Mencari keyakinan dalam diri. Alangkah terperanjatnya Ellyza apabila melihat Nellisa ibarat klon dirinya. Dengan saiz badan yang sama, dengan wajah seperti difotostat, dirinya bagaikan mahu pitam.
Meremang bulu roma Ellyza apabila Nellisa tetiba sahaja menggilai kuat. Seram amat. Sorotan mata merah bak saga milik Nellisa berubah tajam. Seakan mahu menelan Ellyza hidup-hidup. Ellyza gugup. Nellisa mendekati ‘klon’nya. Mendesak supaya Ellyza membantunya. Naik buntu gadis itu jadinya. Perihal pertolongan apa yang Nellisa mahukan sebenarnya ? Asyik mendesak supaya dirinya melunaskan janji sahaja. Padahal dia langsung tidak dapat mengingati apa-apa. Ellyza bertegas. Jikalau Nellisa enggan berterus-terang, takkan sesekali dia menghulurkan bantuan. Nellisa terpaksa akur. Dendam kesumat yang membengkak dihati dimuntah keluar sepua-puasnya. Hubungan pertalian darah antara dia dan Ellyza membuatkan gadis itu diburunya. Janji yang termenterai mereka berdua. Alasan yang digunakan untuk Ellyza merobek kembali ketenangan warga sekolah. Mengoyak tempat persembunyian pembunuh. Dendam agung yang dijulang makin membuak. Manakan tidak, sudahlah Nellisa dibunuh dengan kejam ditepi bangunan bilik guru. Ditolak dari tingkat empat, berkecai otak di atas tanah. Tak cukup dengan itu, ibu dan ayah yang seronok bergelak tawa di dalam kereta disimbah petrol. Dibakar hidup-hidup. Makin tak boleh dimaafkan, apabila satu-satunya waris yang tinggal, Ellyza juga cuba dihapuskan mujurlah, Nellisa sentiasa datang menghalang.
Ellyza menggeleng berkali-kali. Cuba menafikan bicara tak pasti. Dendam membawa padah. Itu yang diucapkan. Itu yang dinasihatkan. Tiada Nellisa mahu mendengar. Bagai hendak terlayang ke udara pabila tiupan angin begitu kuat menyergah tiba-tiba. Seakan mewakili amarah tak bernoktah Nellisa. Hilaian kuat bergema hebat. Kecut perut Ellyza. Agak ketakutan. Bagi Nellisa, hutang darah wajib dibayar dengan darah.
Semakin hari, semakin ramai yang bercerita tentang jelmaan Nellisa. Naik rimas Ellyza. Pandangan serong yang dihulur semua orang kepadanya disisih ke tepi. Kononnya buat tak nampak. Tak perasan dengan semua itu. Puan Suhana yang ternampak Ellyza mendaki anak-anak tangga segera pura-pura tersepak baldi berisi air sabun. Sengaja dibiarkan dirinya jatuh tergolek-golek ke bawah. Ada juga yang rela menahan sakit untuk sakiti orang lain. Untuk tampak lakonannya menjadi. Ellyza pandang acuh tak acuh. Jelas lakonan berwayang dimata. Melihat Ellyza yang endah tak endah, Puan Suhana tolak Ellyza ke bawah. Melayang tubuh kecil itu ke udara. Nellisa yang menyaksikan apa yang terjadi segera menyambut badan adik kandungnya. Gaya seperti perlahan-lahan, jatuh ke bawah. Ternganga Puan Suhana. Terpempan melihat. Hatinya panas. Segera dia meraung. Menjerit sekuat hati yang Ellyza menolaknya. Dikatanya Ellyza jelmaan Nellisa. Nellisa bengang. Puan Suhana dihampiri. Menjelmakan dirinya dengan pakaian sekolah berlumuran darah. Dipandang Puan Suhana dengan mata merah dan sebelah otak berjuntai ke bawah berserta darah menitik setitis demi setitis. Puan Suhana tekup mulut. Tekaknya mual dengan bau hanyir yang kuat. Puan Suhana bangun berdiri. Jari telunjuknya menggeletar menunjukkan ke arah Nellisa lantas, langkah seribu dibuka. Merempuh ke bilik guru besar. Mahu mengadu tentang itu. Puan Suhana memang dari dulu bencikan Nellisa. Nellisa yang lebih segalanya daripada murid kesayangannya. Itu membuatkan dengki menempel tebal.
Haji Harun selaku guru besar sekolah naik pening dengan telatah Puan Suhana. Hari-hari mengadu hidupnya diganggu jelmaan Nellisa. Kipas di siling diperhati pusingan bilah-bilahnya. Dia teringat kejadian malam semalam yang menghantuinya sampai kini. Nellisa menganggunya. Ya ! Dia yakin semuanya angkara Nellisa. Sangkanya, isterinya yang berborak dengannya di ruang tamu. Menemaninya menonton bola padahal, apabila dia melangkah masuk ke dalam bilik, isterinya sedang lena dibuai mimpi. Beberapa hari sebelum tu, bau hanyir seperti mengikut pergerakkannya ke mana sahaja. Lebih teruk apabila pili air yang dibuka, mengalir darah cair dan bukannya air seperti biasa. Sudahlah sejak dua tiga hari ini, lampu di bilik kerjanya asyik menyala dan terpadam sendiri. Apabila suis utama dihampiri, diperiksa sambungan wayar semua sama seperti sediakala. Melangkah sahaja ke bilik kerja, ‘permainan’ itu berulang lagi. Semua yang dilakukan serba tak kena. Masuk ke bilik air, terasa sepasang mata menikam tajam ke arahnya. Agak menggeletar dengan semua itu, langsung kakinya di atur ke bilik tidur. Ibu jari kakinya terasa dicuit seseorang. Menggigil Haji Harun ketakutan. Itu cerita sebelum ini. Hari ini ? Datanglah jelmaan Nellisa dua tiga orang sekaligus, tiada lagi terkencing seperti semalam. Sengaja di arahkan Ellyza datang ke pejabatnya. Jelmaan Nellisa perlu dihapuskan buat kali kedua. Rancangan jahat diatur untuk kesekian kalinya.
Ellyza naik hairan dengan sikap Haji Harun. Sebelum ini, tidak pernah sekalipun mereka bertegur sapa. Bukan tak pernah dia cuba menyapa tapi Haji Harun dengan Puan Suhana macam dua kali lima saja. Haji Harun ketuk pena ditangan kanan ke permukaan meja. Ellyza yang berdiri dihadapannya direnung dari atas ke bawah. Gugup Ellyza jadinya. Nellisa yang menyedari mententeramkan saudaranya. Dengan pisau lipat tersembunyi dibelakang, langkahnya di atur ke arah Ellyza. Bicara manis cuba dihambur keluar. Nellisa enggan membuang masa. Haji Harun, bapa saudara mereka didesak Nellisa gasak. Rasa ingin tahu kenapa riwayat mereka sekeluarga cuba dihapuskan. Haji Harun ketawa bagai orang jahat sebelum menceritakan perihal iri akan harta yang diwarisi bapa kepada budak berdua itu. Melihat dua beradik yang langsung tidak menyedari niat jahatnya, terus pisau itu menikam tepat ke jantung Ellyza. Namun, Nellisa tidak buta. Dia yang meresap masuk ke dalam badan Ellyza sedari tadi, pantas menolak tubuh adiknya ke lantai. Biar sakit ditolak dari mati dibunuh. Pisau yang terbenam di dadanya ditarik keluar lantas, dilempar tepat ke jantung Haji Harun. Nellisa menggilai kuat. Bangga dendamnya terbalas. Haji Harun yang melihat Nellisa ralit menjulang kejayaan, terus menekan dadanya kuat. Menahan sakit yang amat. Dengan sisa kudrat yang ada, pisau ditarik sekuat tenaga lalu dibenamkan ke jantung Ellyza. Menjerit Ellyza mengucap nama Allah sebelum terkulai lesu. Nellisa yang tadinya terleka menempik bagai orang gila. Meraung sekuat-kuatnya. Dendam yang membara benar-benar membawa padah kepadanya. Nasi sudah menjadi bubur, kini sudah tiada gunanya. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya.






5 comments:
sy x fhm knp pn. suhana tu bencikan nellisa??
lgpon crta ni ending dia x best.
writer,bt la smbungannya..
cik/puan siti,
" Puan Suhana memang dari dulu bencikan Nellisa. Nellisa yang lebih segalanya daripada murid kesayangannya. Itu membuatkan dengki menempel tebal." >>> da menerangkan sebab Puan suhana bencikan nellisa
:) apapun terima kasih sudi bace
best.. ;D
best ke story novel nie.. nak copy boleh.. wat bacaan dimalam ari ngee..
Assalamualaikum, empunya Blogger.
Jokeonsalo dengan sukacitanya menjemput kamu untuk menyertai "Kempen anti Valentine's Day" bersama jokeojeonsalo.blogspot.com
Diharap agar kamu berkesudian untuk menyertai kempen ini. Berminat?
Mari lihat cara-cara untuk menyertai kempen di http://jokeojeonsalo.blogspot.com/2012/02/kempen-anti-valentines-day.html
TERIMA KASIH :)
Post a Comment